Kawan-Kawan

Friday, November 13, 2015

#DAMIA - Bab 2

Sebenarnya kalau ikut poll memang kena kasi Aura Jiwa. But since I'm still not satisfied with the editing, I'm giving you guys this instead. Bear with me. After all, cerita ni takde cadangan nak buat cerita panjang pun...

Terpaksa apdet untuk #BOTW malam ni since I will be leaving immediately sekejap lagi. See you guys next week. :D

Ok, selamat membaca.

PART II






HUJUNG pen diketuk-ketuk perlahan ke pelipis. Pandangannya terus ke hadapan, namun fikirannya melayang. Tak fokus pada guru yang sedang berceloteh memberikan arahan tentang peperiksaan hujung tahun yang akan bermula pada minggu hadapan.
Dari tingkat empat, di dalam kelasnya, Damia buang pandang ke arah padang sekolah. Ada sekumpulan pelajar sedang bermain bolasepak. Ada beberapa kumpulan pelajar yang hanya duduk-duduk di tepi padang sambil berborak. Dan ada seorang yang sedang duduk di hujung bangunan sekolah di tepi longkang sambil membaca. Spontan Damia tarik senyum segaris.
“Damia!”
“Ye, cikgu!” Kelam-kabut Damia berdiri bila dipanggil. Cikgu Idris di depan dipandang takut-takut.
“Kamu berangan apa?”
Ada bunyi suara-suara sumbang mula berbisik. Damia senyum takut-takut.
“Eh, mana ada berangan, cikgu. Saya dengar cikgu cakap apa tadi,” jawabnya, cuba bernada selamba.
“Dah sedia nak ambik exam minggu depan?”
Kali ini Damia angguk dengan yakin. “Dah, cikgu!”
Cikgu Idris ikut angguk. “Bagus. Dah, duduk. Okey, kelas. Saya tinggalkan kamu untuk ulangkaji pelajaran. Tak sampai seminggu je lagi tinggal. Saya harap tak ada yang gagal dalam subjek saya. Okey?”
“Baik, cikgu!” Serentak satu kelas menjawab.
Cikgu Idris angguk lagi. “Baik. Saya keluar dulu.”
Ucapan terima kasih diberikan dan Cikgu Idris terus keluar meninggalkan kelas yang sekelip mata menjadi pasar borong.
Damia kembali membuang pandang ke hujung blok tadi dan senyum ditarik. Zamri masih di situ. Teringat masa baru mula kelas selepas waktu rehat tadi. Sebelum ada cikgu yang masuk, Zamri lebih dulu terpacak depan pintu kelas dia.
“Nurin Damia! Aku tunggu kau lepas sekolah nanti!” Tak ada salam, tak ada hai, tak ada sebarang intro, Zamri terus bagi arahan. Mandatori.
Bukan Damia je yang terkejut, satu kelas pun ikut terkejut. Dan jenuhlah Damia menangkis pelbagai spekulasi yang timbul akibat daripada kemunculan Zamri yang sangat mendadak tu.
Jam di dinding kelas dikilas. Ada beberapa minit lagi waktu sekolah sesi petang akan tamat. Damia dah mula rasa tak senang duduk. Buku-buku dan alat tulis di atas meja mula dikemas dan dimasukkan ke dalam beg.
“Mia, betul ke kau dengan Abang Zamri tu takde apa-apa?” Zura dekat sebelah dah pandang Damia tajam semacam.
“Betullah. Memang takde apa-apa. Cuma dia ajar aku je dua kali seminggu. Aku kan sebelum masuk sekolah ni ada banyak ketinggalan.” Damia senyum.
Ketahuilah wahai Zura sahabatku sayang. Kalau betul ada apa-apa antara aku dengan Zamri tu, memang dah lama aku canang. Walau bukan tergolong antara yang kacak-kacak dan popular dalam sekolah, tapi Zamri tu antara pelajar kelas pertama yang pandai-pandai belaka. Memang asetlah kalau dapat. Terjamin masa depan, insyaAllah.
“Kau tak pernah cakap pun kau ada tuisyen dengan dia? Kalau aku tau, aku pun nak.”
Damia sekadar sengih mendengar balasan Zura. Tak tau nak jawab apa lagi sementelah topik yang sama diulang-ulang sejak daripada Zamri memanggilnya tadi. Jawab lebih-lebih karang, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Oh, takpelah. Biarlah dia seorang je anak murid si Zamri yang poyo lagi kerek tu.
Loceng tanda waktu sekolah tamat berdering panjang. Beg digalas ke bahu. Enggan berlengah supaya tak perlu lagi bersoal jawab dengan Zura. Dia tak larat dan tak mampu pun nak menjawab. Kerusi ditolak masuk ke dalam sebelum dia menjarakkan diri.
“Aku pergi dulu. Jumpa esok. Bye, Zura!”
Tak sempat Zura panggil, Damia lebih dulu berlari meninggalkan kelasnya. Berdesup dia menuruni tangga dan berlari menuju ke tempat Zamri menunggu.
“Ada apa kau nak jumpa aku ni?” sapa Damia sebaik tiba. Nafas mengahnya cuba dikawal sebaik mungkin. Tak mahu terlihat betapa dia tergesa-gesa sekali ingin menepati janji temu yang dibuat. Eh? Janji temukah? Mana ada. Inikan arahan mandatori seorang mamat poyo lagi kerek tu.
“Waalaikumussalam.” Panggung kepala pun tidak.
“Erks!” Panas cuping telinga Damia dengar nada Zamri yang cukup bersahaja itu.
Nafas panjang ditarik sebelum dihembus perlahan. Damia letak beg ke sisi sebelum melabuhkan duduk di atas birai longkang kering itu.
“Assalamualaikum,” lembut Damia menyapa.
Kali ini baru lelaki itu meletakkan buku komiknya ke bawah sambil menjawab salam. Lebar senyuman Zamri buat Damia terpesona.
Sungguh Zamri tu Damia rasa tak kacak pun, tapi lelaki itu manis dengan cara yang tersendiri. Ada pesona, ada aura, ada daya penariknya yang tersendiri yang membuatkan Damia tak mampu nak menidakkan rasa yang seringkali menggebu setiap kali mereka bertemu.
Damia rasa pipinya panas tiba-tiba. Segera dia menundukkan pandangan. Hujung kasut putihnya menguis-nguis rerumput kecil yang tumbuh dari celah retakan simen longkang.
“Ada apa kau panggil aku ni? Nanti malam cakap time belajar, tak boleh?” Bagai terkemam sahaja suara Damia.
Zamri letakkan komiknya di atas beg sebelum memeluk kedua kakinya dan melabuhkan dagu antara kedua lututnya. Pandangan terus menghala ke tengah padang.
Start minggu depan, aku tak ajar kau dah. Aku nak fokus untuk SPM pulak.”
Mendatar sahaja nada Zamri, tapi cukup buat Damia rasa macam kena penampar di belakang badan. Dia tarik kaki rapat ke dada sebelum ikut melabuhkan dagu di celah lutut. Angin petang bertiup lembut, membuai rasa hati.
“Ooohhh...” Hanya itu yang mampu keluar dari bibir Damia walau hakikat sebenarnya ada banyak yang dia nak tanya.
Macam mana dengan tahun depan? Masa kau tengah tunggu keputusan, tak ada ke kelas tambahan? Kau nak minta masuk universiti mana? Jauh tak? Kau balik selalu tak? Masa aku nak PMR tahun lagi satu, kau ada sini tak? Boleh buat kelas tak? Aku janji, aku belajar betul-betul. Tak main-main. Aku janj...
“Dam...” panggil Zamri perlahan.
“Huh?” Damia toleh pandang pada Zamri di sisi.
Lelaki itu masih kekal seperti tadi. Tak sedikitpun memandang kepadanya. Tapi Damia perasan pada riak penuh keyakinan yang terpeta pada wajah Zamri.
“Apa cita-cita kau?”
“Eh?” Berkerut dahi Damia dengan soalan Zamri yang tak terduga tu.
“Kau tak pernah fikir pasal masa depan?”
Sekali lagi soalan Zamri buat Damia terdiam seribu bahasa.
Zamri kembali memandang ke hadapan. Kedua tangan lurus di sisi menyokong tubuh yang santai menyandar ke belakang. Angin petang yang menghembus membuai rambutnya yang sedikit panjang. Ada senyuman kepuasan terukir di bibir.
Sekali lagi Damia panas muka tiba-tiba. Kepala ditunduk. Tangan kanan menolak rambut depan yang jatuh menutup sebahagian wajahnya dan diselit ke belakang telinga.
Masa depan? Dah tentu. Tapi Damia tak berfikir. Dia berangan. Berangan kalau-kalau masa depan dia dan Zamri bertemu dan menjadi satu. Berangan kalau-kalau setelah dia dewasa nanti, menjadi satu-satunya suri di hati Zamri.
PAP!
Laju Damia kilas ke sebelah seraya memegang bahu yang sakit. Dikerutkan keningnya tanda marah.
Zamri sengih sambil memasukkan komiknya ke dalam beg.
“Kalau kau tak buang perangai suka berangan ni, sampai bila-bila kau tak boleh berjaya, Dam. Berangan ajelah nak jadi orang senang.” Selamba sahaja nada Zamri tanpa sedikitpun rasa bersalah setelah menampar bahu si gadis dengan komiknya tadi.
Damia merengus pendek. Bahu yang sakit diurut-urut perlahan.
“Berangan je pun. Bukan kena bayar,” sungutnya sendiri.
Zamri galas begnya dan terus bangkit berdiri.
“Damia,” panggil Zamri.
Si gadis mendongak. Bila sang jejaka menyebut namanya penuh begitu, terasa bagai alunan muzik di telinga. Riak Damia spontan melembut.
“Berangan memang free. Tapi angan-angan akan terus kekal angan-angan kalau kau tak berusaha nak capai angan-angan kau tu. Usaha tu kena mula dari sekarang untuk kau dapat hasil dia esok-esok. Work for it, Dam. Kerja keras untuk pastikan angan-angan dan cita-cita kau tercapai. Dan, kalau kau perlukan bantuan, aku sedia menolong.”
Damia kekal diam. Hanya matanya terkelip-kelip memandang Zamri yang turut memandang kepadanya dengan mesra.
“Dah lewat. Jom balik,” ajak Zamri sebelum terus mengorak langkah.
Damia berdiri lambat-lambat. Kelibat Zamri yang melangkah santai ke perhentian bas dipandang sebelum Damia tunduk ke lantai.
Berusaha untuk capai angan-angan tu?
Sekali lagi belakang tubuh Zamri dipandang. 
Kalau angan-angan aku tu melibatkan kau, kau masih nak tolong aku tak, Zam?


-------------------------------------------------------------------

Ok, selamat menghentam. :)

4 comments:

Milla said...

Ok, kita tunggu next week...

dari sisi hidupku said...

Macam biasa la. Nak lagi.... Hahaha. Dah ada spark to read this story. Good job!

dari sisi hidupku said...

Macam biasa la. Nak lagi.... Hahaha. Dah ada spark to read this story. Good job!

Syah Shah said...

@Milla : yeah, tunggu jangan tak tunggu.. hehehe

@dari sisi hidupku : mekaseh.. macam biasa jugak, seminggu sekali aa.. hehehehe