Kawan-Kawan

Saturday, November 07, 2015

#DAMIA - Part 1

Setelah sekian lama tak update blog. Kekok gila rasanya. Dah bersawang-sawang teruk dah ni. Hahahaha

Ini entry #BOTW saya. Nak up #AuraJiwa tak boleh sebab Bab 2 tengah rombak. Nak up #Merah pun tak boleh sebab rasa macam lame gila, nak kena rombak. Jadi kita kasi something new.

This is probably gonna be a short story je. Dah lama tak menulis cerita pendek. Percubaan menulis cerita budak sekolah.

Enjoy your read!


PART 1






DAMIA mengeluh perlahan. Hujung pen sudah mula digigit-gigit. Dia rasa pandangan dia dah kabur dek terlalu lama merenung kertas soalan di atas meja. Nombor-nombor, digit-digit, dan sedikit aksara yang ada telah mengakibatkannya pening-pening lalat. Sekali lagi dia mengeluh. Kali ini panjang. Haaiiiihhh... Matematik ni memang susah lagi menyusahkan!
“Aku suruh kau selesaikan soalan tu. Bukan suruh kau mengeluh. Buat cepat!” Serentak dengan itu, sebutir kacang pistachio mengenai dahi Damia sebelum jatuh pula di atas buku.
Damia panggung kepala. Kening sudah berkerut marah dengan bibir sedikit memuncung. Pistachio di atas buku dikutipnya, berura-ura mahu membalas serangan.
“Makan kacang tu, jangan baling. Biar cerdik banyak sikit.”
Damia ketap gigi rapat-rapat. Sakitnya hati, Tuhan aje yang tahu. Nafas diatur supaya kembali tenang. Sumpah dia rasa macam nak tarik-tarik je bibir yang sudah menyungging senyum sinis tu.
“Aku taulah aku bodoh...” Perlahan Damia bersuara.
“Aku tak pernah cakap pun. Kau sendiri yang mengaku...” Perlahan juga balasan yang diterima. Tapi kesannya macam kena jerit, kena jerkah. Senak ulu hati.
“Memanglah kau tak pernah cakap. Tapi aku sedar diri...” Cubaan memancing perasaan bersalah sebenarnya dan Damia harap sangat pancingan mengena.
“Alhamdulillah kau sedar diri...” Kedua tangan ditadah sebelum diraup ke muka.
“Zam!” Damia terjerit. Geram sangat.
“Ye, Dam?” Selamba menyengih.
Eeeiiii! Mamat niii.... Damia dah ketap-ketap gigi. Geramnya... Geramnya...
“Aku cekik-cekik jugak kau nanti. Geramnya aku... Eeeiiii...”
Zamri ketawa. “Kau ingat aku nak biar je laa kau cekik aku? Sorry, aku bukan lelaki gentleman.” Dia sambung ketawa.
“Eeeiiii!” Damia genggam kedua tangannya. Menahan sabar yang diuji. Nafas panjang ditarik sebelum dilepas perlahan.
“Dah, dah. Tak payah nak drama sangat. Siapkan soalan yang aku bagi tu. Bukan banyak pun. Dua helai je. Tu baru Matematik. Belum masuk subjek lain lagi. Buat cepat. Aku nak siapkan kerja rumah aku ni.”
“Yelah! Aku taulah!” rengus Damia. Kertas soalan atas meja ditarik kasar. Protes kononnya. Sebal sungguh. Tumpuan kembali diberi pada soalan yang tertera. Tekun dia cuba menyelesaikan masalah Matematik yang diberi.
Sepuluh minit tunduk buat kerja, Damia berhenti. Kepala dipanggung sedikit. Mencuri pandang sang jejaka yang duduk di hujung kanan meja.
Lelaki itu sedang mengunyah kacang sambil tekun menyelesaikan kerja rumahnya. Sesekali dia mengetuk dahi dengan hujung pennya sambil memejamkan mata. Seolah-olah mencari ilham atau jawapan sebelum kembali mencatat di dalam buku.
Damia tunduk pandang kerja rumah sendiri sambil senyum sembunyi-sembunyi. Nafas panjang dihela. Teringat saat pertama kali mereka berjumpa lebih kurang tiga bulan yang lepas.
Masa tu, dia dengan mama baru je beberapa hari berpindah ke kawasan tu. Dan perlawaan pertama diterima dari Mak Cik Suri, yang mengajak dia dan mama minum petang bersama.
“Ini Zamri, anak sulung mak cik. Tahun ni nak ambik SPM. Abang, ini Damia dengan mama dia, Auntie Ida. Auntie Ida ni adik angkat ibu masa dekat kolej dulu. Diorang baru je pindah. Damia ni pun baru tingkatan satu je, bang. Sekolah sama dengan abang.”
Mak Cik Suri yang baik dan peramah. Tapi anak sulung dia memang sombong dan kerek.
“Err... Abang Zamr...”
“Aku dah ada adik. Terima kasih je,” pangkas lelaki itu. Dingin.
Terkedu terus Damia dibuatnya.
“Err...”
“Zamri. Tak payah panggil abang. Aku dah ada adik. Dan aku tak teringin nak ada adik lagi.”
Wah! Kerek! Baik, aku pun boleh kerek jugak! Fikir Damia.
“Okey... Err... Zam.” Damia tarik senyum senget.
“Ye, Dam?” Lelaki tu ikut senyum senget.
“Erks? Dam?” Berkerut seribu dahi Damia kali ini.
“Kau panggil aku Zam. Adil laa aku panggil kau Dam, kan?”
Dam? Bulat mata Damia jadinya. Panggil Mia laa kalau ye pun nak pendekkan! Hish!
Dan secara rasminya, panggilan itu terus melekat antara mereka. Sungguh Damia tak rela sebenarnya. Sudahlah sesuka hati memanggilnya begitu, lebih parah lagi bila hampir setiap patah kata yang keluar dari bibir Zamri selalu membuat Damia rasa tersindir. Menyakitkan hati. Geram. Tahulah awak tu pelajar kelas pertama. Calon pelajar cemerlang, gemilang lagi terbilang kalau nak dibandingkan dengannya yang berada dalam kelas ketiga.
Masa mama usulkan dia belajar dengan Zamri dua kali seminggu, memang Damia rasa nak mengamuk. Dia tau dia memang kurang cerdik, tapi dia lebih rela belajar sendiri daripada berguru dengan mamat poyo lagi kerek tu.
“Benda senang je kot. Kau banyak makan pedal ayam ye Dam?” kata Zamri yang membuatkan Damia bungkam terus. Nak kata dia benaklah tu.
Hari pertama pergi, Damia balik menangis-nangis.
“Lain kali minum air masak lebih sikit. Bagi otak tu cair sikit. Nak serap ilmu pun senang sikit.” Selamba tak ada nada, tapi bikin Damia terbakar jiwa dan raga.
“Masa cikgu mengajar dalam kelas, lain kali jangan menyorok dalam tandas.”
Panas hati, panas telinga, panas muka, panas badan. Agak-agak kalau dia panggang Zamri ni, Ibu Suri marah tak, ye?
Cukup empat kali pergi, dia merayu untuk berhenti. Tapi mama paksa juga. Mama kata tak mampu bayar duit tuisyen, dan Zamri pula menawarkan khidmat tutor secara percuma. Dan akhirnya Damia mengalah. Hati dikeraskan. Terpaksa menjadi tabah demi mendapatkan ilmu. Dia dah banyak keciciran semasa mama sedang huru-hara selepas bercerai dengan papa awal tahun itu.
Mula-mula memang seksa. Tapi, lama-lama, dia rasa istimewa. Tak ada yang pernah memanggilnya Dam dan dia tak mahu pun ada yang selain Zamri memanggilnya begitu. Dan dia juga tau, tak ada pelajar perempuan lain yang lebih mesra dengan lelaki itu selain dia. Macam mana dia tau? Damia sengih sendiri.
Sebab dia rajin pergi sekolah awal. Sejam dua sebelum sesi pagi berakhir, dia selalunya dah berada di kawasan sekolah. Memudahkannya untuk menjadi penyiasat tak bertauliah bila semua kelas pelajar tingkatan lima berada di aras bawah sekali dan kelas Zamri berada di hadapan sekali. Bonus juga bila lelaki itu tempat duduknya adalah di sebelah tingkap. Memang rezeki Damia cuci mata setiap kali dia datang awal ke sekolah.
Sebiji kacang pistachio mendarat lagi di dahinya sebelum jatuh atas meja. Elok Damia panggung kepala, beberapa biji lagi kacang pistachio tepat mengenai dahinya.
“Hoi!” Damia bulatkan mata.
Zamri tarik senyum senget. “Ada cerita kpop apa kat kertas soalan tu yang kau duk sengih-sengih sorang-sorang tu?”
Tersipu-sipu Damia jadinya. Sedar salah sendiri.
“Makan kacang tu. Biar cerdik lebih sikit. Suruh belajar, kau berangan.”
Damia menjeling.
Zamri dah senyum sinis. Ada ayat baeeekkk punya dia dah karang dalam kepala.
“Abang, Mia. Sudah dulu. Dah pukul sepuluh ni. Jom, Mia. Ibu hantar balik.”
Teguran ibu mematikan senyum sinis Zamri. Dipandang sahaja Damia yang terus mengemas alat tulis dan buku-bukunya yang bersepah di atas meja.
“Bye Zam. Jumpa lagi lusa.” Damia bangkit dan menggalas beg kainnya ke bahu. Tangan dilambai sekali sebelum melangkah mendapatkan Ibu Suri yang sudah menunggu di depan pintu.
“Dah?” tanya Ibu Suri dengan senyuman penuh di bibir.
Damia angguk. “Dah, ibu.” Senyumannya ikut mekar. Selipar segera disarung. Tangan Ibu Suri yang terhulur terus dicapai. Langkah diatur bersama-sama menuju ke rumahnya dengan perasaan penuh berbunga.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Okey. I know this is also lame. Staying away from writing for a very long time has taken its toll on me I guess. Hehehe
Okey, boleh hentam dah lepas ni. Saya nak pergi menyorok bertapa jauh-jauh lama-lama sikit. Heheheheheh
Post a Comment