Kawan-Kawan

Saturday, November 28, 2015

#DAMIA - Part IV

#BOTW takde. Tapi update jugak sebab taknak lost momentum.
Hambar. Serupa macam keadaan diri sendiri yang tengah demam sekarang. Hahaha

Okey, malas nak cerita banyak, selamat membaca.. :D


PART IV



DAMIA panggung kepala. Zamri yang sedang menyelak akhbar sambil menyandar dengan kaki lurus di atas sofa dikilas sekali. Perut yang rasa tak selesa ditekan-tekan dari bawah meja sambil mengharap tak ada yang perasan. Tak sakit, cuma tak selesa.
“Dah siap belum?”
Soalan Zamri buat Damia terkejut.  Sedayanya dia buat macam biasa. Sengih ditayang. Memang tak siap lagi. Dalam keadaan rasa tak selesa macam ni, memang konsentrasi nak belajar tu tak ada.
Zamri garu dahi. Nafas panjang dihela.
“Aku bagi soalan sikit je pun. Takkan tak siap jugak lagi?”
“Sikit lagi,” balas Damia.
Bangkit dari sofa, Zamri berdiri di belakang Damia yang duduk di lantai, menyiapkan tugasan yang diberi. Buku latihan atas meja kopi dipandang lama.
“Tak buang lagi ke perangai kuat berangan kau tu, Dam?” Sinis nada Zamri.
Damia dah rasa sentap. Tak tau kenapa memang dia rasa sentap sangat-sangat.
“Mana ada aku berangan,” nafi Damia.
Zamri dah bercekak pinggang.
“Habis tu? Dah setengah jam, tak sampai separuh pun kau siap. Kalau tak berangan, kau buat apa? Tadi masa aku tanya, kau kata faham. Dah tu kenapa tak siap-siap jugak?”
“Aku... Aku...” Damia telan liur.
“Dam, tolonglah. Kang pukul lima setengah aku nak gerak balik hostel dah. Boleh tak kau fokus?”
Bibir bawah digigit. Damia rasa mata dia dah mula panas. Sungguh dia rasa sedih sangat-sangat. Terkebil-kebil sahaja dia mendongak memandang Zamri yang masih berdiri sambil mencekak pinggang. Dan tiba-tiba sahaja sebutir airmatanya jatuh. Cepat-cepat Damia sapu dengan belakang tangannya.
Zamri terus terkedu.
“Dam...” Liur kesat ditelan.
Pen diletak dan buku latihan ditutup. Dengan tergesa-gesa Damia kemas barang-barangnya dan disumbat ke dalam beg kainnya sebelum dia bingkas bangkit. Kepala ditunduk, sekali lagi belakang tangan menyapu mata yang basah. Bukanlah dia nak menangis sangat, tapi airmata tu tiba-tiba je keluar.
“Balik dulu,” ujarnya dan berpusing untuk keluar.
“Dam, nanti.”
Damia ketap bibir kuat-kuat. Dah buat orang sedih-sedih macam ni, lepas tu nak suruh tunggu. Memang tak lah. Zamri dan kepoyoannya boleh pergi berambus. Dia tak kuasa nak layan. Mood dia dah lama terbang. Dari sedih, sekarang dah bertukar marah.
“Dam! Sekejap!”
Terhenti langkah Damia bila Zamri bertindak menarik begnya. Berang, Damia campakkan begnya ke lantai.
“Apa lagi?” Tinggi nada Damia. Laju nafasnya. Direnungnya Zamri yang kelihatan tergamam itu tajam-tajam.
“Kau... err... belakang... kau...” Zamri tergagap-gagap.
“Apa?” marah Damia. Sungguh-sungguh kali ini dia rasa jengkel.
“Abang, Mia, ada apa ni?” Ibu Suri yang sedari tadi menemani sekadar dari ruang makan, dah tiba di depan pintu.
“Hah, ibu!” Zamri nampak lega.
“Sini jap ibu. Abang tak tau nak cakap macam mana dengan budak ni.”
Terpinga-pinga Ibu Suri bila ditarik supaya dekat dengan Damia.
“Ada apa ni, abang? Mia?”
“Ibulah tolong cakapkan.”
Jangan kata Ibu Suri, dengan Damia sekali bingung.
“Cakap apa?”
Zamri mendecitkan lidah. Kepala digaru kasar.
“Kau pusing belakang jap,” arah Zamri.
Berkerut kening Damia. “Apasal pulak?”
“Jangan banyak tanya, pusing aje, boleh tak?”
Damia masih tak bergerak. Berkerut-kerut keningnya. Ibu Suri yang bertindak meninjau ke belakang Damia. Sebaik matanya menangkap maksud gesaan sang anak, bahu Damia dipaut lembut.
“Mia, kita naik bilik Zinnirah sekejap, ye?” ajak Ibu Suri.
Zamri hela nafas lega. “Ibu settle ye? Abang nak naik solat asar.” Dan Zamri terus menghilangkan diri naik ke atas rumah.
“Ada apa, ibu?” Pandangan dialih kepada Ibu Suri.
“Mia bocor,” jawab wanita itu.
 “Hah!” Cepat-cepat Damia periksa skirtnya. Dan terus dia rasa muka dia sekejap pucat, sekejap merah. Kena pulak si poyo tu yang nampak kesan bocor ni. Sungguh Damia rasa nak menangis sangat-sangat. Malunya!
“Mia tak perasan...”
“Dah, dah. Jom naik atas,” ajak Ibu Suri.
Damia mengangguk dengan wajah yang panas. Beg atas lantai diambil kembali dan mereka menghilang ke tingkat atas.
Selesai buat apa yang patut, Damia dan Ibu Suri turun semula. Di atas sofa di ruang tamu, Zamri dan ayahnya sudah duduk-duduk santai. Malah masing-masing sudah siap berganti pakaian.
“Ayah, ibu solat, lepas tu ganti baju dulu ye. Nanti kita hantarkan Mia dulu sebelum ambik Zinnirah dekat kelas muzik. Lepas tu baru kita pergi rumah kawan ayah tu.” Ibu Suri aturkan agenda elok-elok. Ayah angguk sahaja.
“Eh, tak payahlah. Mia balik jalan kaki je. Dah biasa. Bukan jauh pun.” Damia segan.
“Takpelah ibu. Abang hantar dia. Tak payah ayah nak pusing-pusing. Lagipun abang pun nak balik hostel dah.” Zamri tawarkan diri.
“Naik motor?” tanya ayah. Terjegil sedikit matanya.
Zamri sengih. “Pinjam Kancil ibu laa. Lepas hantar abang balik laa ambik motor.”
Ayah angguk. Ibu ikutkan aje.
“Eh, takpelah. Mia jalan je.” Bersungguh Damia menolak. Tak selesa sebenarnya. Lagi-lagi sejak kejadian tadi. Malunya masih tebal.
“Takpe, aku hantar. Jom.” Damia digamit sebelum Zamri menyalami tangan ayah dan ibunya.
Nak tak nak, Damia terpaksa akur juga. Langkah diatur lambat-lambat mengikut Zamri di belakang.
Sorry.” Sebaik sahaja kereta keluar dari perkarangan rumah, Zamri bersuara.
Damia kalih sipi-sipi, tak berani nak betul-betul bersemuka. Memang dulu mereka rapat, tapi sejak Zamri mengaku dah ada girlfriend dulu, Damia dah mula jarakkan diri. Dan sejak Zamri mulakan pengajiannya lebih setahun yang lalu, mereka hanya berjumpa di hujung minggu untuk sesi belajar.
Sorry.” Zamri keraskan suara bila tiada jawapan diterima.
“Hmm...” Hanya itu balasan Damia. Banyak sebenarnya dia nak cakap dengan Zamri, tapi dia belajar untuk menahan diri bila tahu dia bukan siapa-siapa pada lelaki itu. Pandangan dibuang ke kiri, menghadap jalan.
“Minggu depan aku tak balik tau? Ada kem,” beritahu Zamri tanpa dipinta.
“Hmm...” balas Damia lagi.
Dan Zamri terus diam. Damia hela nafas lega perlahan. Curi-curi dia memandang pada Zamri yang sedang memandu. Bukan jauh pun rumah Damia. Kalau jalan kaki, boleh ikut shortcut lalu ikut padang. Sepuluh minit dah sampai. Tapi sebab naik kereta, kena lalu jalan utama. Lambat sikitlah.
Tapi Damia tak kisah. Bukan mudah nak dapat masa bersama selain dari masa belajar. Walau sedar dia bukan siapa-siapa pun pada Zamri, dia masih tak mampu nak menidakkan rasa hati. Hanya masa yang akan menentukan.
“Kita singgah makan burger dulu, nak? Aku rasa lapar pulak tiba-tiba ni.” Tiba-tiba Zamri buat lencongan 90 darjah ke kanan memasuki simpang.
“Wei!” bantah Damia namun Zamri sedikit pun tidak peduli.
Damia merengus.
“Sesuka hati dia je,” sungut Damia perlahan. Memandangkan dia hanya menumpang, diturutkan sahaja hala tuju Zamri.
Zamri parkirkan kereta dan terus keluar menuju ke sebuah gerai burger yang baru sahaja dibuka untuk hari itu dan memerhatikan menu. Bukan tak biasa datang, tapi sementara menunggu Damia tiba, buat ajelah apa-apa.
“Suka hati kau je, kan?” Sampai-sampai je di sisi Zamri, Damia dah merungut.
Zamri sengih. “Kau nak apa?” Tak menjawab soalan, sebaliknya jari telunjuknya terus dilarikan atas menu yang tertampal di dinding gerai. Cara efisyen mengubah topik.
Damia telan liur tengok senarai menu. Segera dia berjengket sedikit dan menarik-narik sedikit hujung lengan baju-t Zamri. Niatnya ingin berbisik, malangnya sang jejaka buat tak acuh saja.
“Zam...” leretnya sedikit marah.
“Cepatlah, kau nak apa? Aku belanja.”
Damia turunkan tumitnya. Zamri belanja? Mamat poyo yang kedekut ni nak belanja dia? Okey, ini mesti ada sesuatu ni.
“Okey, apa syaratnya?” tanya Damia sambil menyilang kedua tangan di dada.
Segera Zamri berpaling ke sebelah dan mengerut dahi.
“Syarat apa kau ni?” soalnya sebelum kembali memandang ke hadapan dan menyatakan pesanannya pada abang burger.
Damia julingkan mata ke atas sebelum menghela nafas. Dipandangnya sang jejaka dengan penuh skeptik.
“Inilah. Apa syaratnya kau nak belanja aku burger ni?”
Zamri menoleh. Keningnya hampir bertaut sebelum tiba-tiba dia ketawa.
“Takde syarat apa-apalah. Aku cuma rasa nak makan burger. Dah aku ajak kau teman, aku belanja laa. Tak boleh? Cepatlah oder.”
Jawapan Zamri tu susah Damia nak percaya. Mata dikecilkan sebelum sebelah kening dijongket.
Zamri ketawa lagi sambil menggeleng kepala.
“Bang, buat dualah burger daging double special tu. Mengada-ngada betul budak ni.” Zamri buat pesanan sendiri sebelum kembali berpaling pada Damia.
“Kau nak minum apa? Limau ais, kan?”
Tak sempat Damia jawab waima mengangguk sekalipun, Zamri sekali lagi dah buat pesanan. Damia hanya mampu memandang.
“Jom duduk kat sana,” ajak Zamri sambil melangkah terlebih dahulu.
Damia labuhkan duduknya di atas bangku di sebelah Zamri. Kedua tangannya di atas meja. Jemarinya disulam sesama sendiri. Bibir bawah digigit-gigit. Rasa-rasanya ini cara Zamri minta maaf sebab marah-marah dia tadi. Agaknya.
“Burger daging double special?” tanya Damia. Saja cari topik perbualan.
“Apasal?”
“Aku...”
“Tak payah nak diet sangatlah. Kau nak diet apa lagi? Badan dah kerempeng macam plywood, boleh buat ganti dinding reput dah,” pangkas Zamri sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket. Aplikasi game Snake dibuka.
Damia dekat sebelah sudah membara. Zamri itu dimatanya kecil besar, kecil besar saja. Kalau ikut rasa hati, memang dah selamat dia tenyeh-tenyeh saja mulut yang takde tapis tu ke jalan tar. Geram!
 




:::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Okey, tamat untuk minggu. Silakan mengomen banyak-banyak ye..
Sekian, terima kasih.

Post a Comment